Powered by Blogger.

Saturday, February 04, 2012

Bilangan Pembantu Pengajar BI (ETA) dari AS Akan Diganda

  NR       Saturday, February 04, 2012

KUALA TERENGGANU 2 Feb. - Kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Australia dan United Kingdom (UK) dalam usaha menggandakan jumlah pengambilan pembantu pengajar bahasa Inggeris (ETA) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kerjasama itu dijangka bermula secara rasmi tahun depan.

Katanya, kerajaan negeri sukar mendapatkan lebih ramai guru bahasa Inggeris menerusi program anjuran Jawatankuasa Kerjasama Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) itu kerana terikat dengan kuota.

"Sejak program ETA ini dilaksanakan di Terengganu pada 2009, jumlah keseluruhan tenaga pengajar ETA berjumlah 89 orang termasuk 17 peserta untuk tahun ini.

"Bagaimanapun, jumlah ini sebenarnya masih kecil bagi memenuhi hasrat besar kerajaan negeri memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Guru ETA kepada 17 pentadbir sekolah di Hotel Tanjung Vista di sini kelmarin.

Hadir sama, Kaunselor Kedutaan Amerika Syarikat, Scoot Rauland.

Program ETA yang dirintis di Terengganu telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai tahun ini diperluaskan ke tiga buah negeri termasuk Pahang (16) dan Johor (17).

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri kini tidak perlu lagi menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 setahun untuk program ini kerana segala perbelanjaan itu kini diuruskan Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan berjumlah RM51,000 untuk program itu yang mana setiap sekolah yang menerima guru ETA akan menerima peruntukan sebanyak RM3,000," ujar beliau.

- Utusan

logoblog

Thanks for reading Bilangan Pembantu Pengajar BI (ETA) dari AS Akan Diganda

Previous
« Prev Post

No comments: