MOHD. Mokhtar Samad (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Ilyas Harun pada majlis Malam Anugerah Festival Filem Pendek 2012 di Dewan Serbaguna UiTM cawangan Pahang, Maran, baru-baru ini.
MARAN 27 Mac - Penganjuran Anugerah Festival Filem Pendek (FPP) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang, di sini baru-baru ini adalah sebagai langkah awal mengiktiraf mahasiswa menghasilkan karya filem pendek yang kreatif.
Timbalan Rektor UiTM Pahang, Mohd. Mokhtar Samad berkata, program itu secara tidak langsung memacu kreativiti mereka menampilkan hasil karya terbaik dalam bentuk filem.
Menurutnya, usaha dilakukan itu sangat dihargai dan menyanjung tinggi minat generasi muda terhadap karya tempatan yang dilihat mampu menghasilkan filem berkualiti pada masa akan datang.
"Langkah itu mampu menjana kreativiti mahasiswa, sekali gus melahirkan pelapis dalam industri perfileman pada masa akan datang.
"Festival tersebut sebagai menyokong kemajuan industri perfileman dan meningkatkan citra kebudayaan dan pelancongan negara," katanya ketika berucap pada program tersebut di sini.
Festival yang bertemakan 'Kenangan kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee' itu menampilkan 10 filem pendek pelbagai kategori dipertandingkan.
Pada program tersebut, filem bertajuk Poverty hasil produksi Awal Cute Production & Scartee Coolla Art muncul pemenang kategori Filem Terbaik manakala Pengarah Terbaik disandang oleh Zariff Johan yang mengarah filem Mimpi.
Bagi Kategori Cerita Asal Terbaik dimenangi filem Poverty hasil karya Muhamad Syawal Arbai Mohd. Mokhtar dari produksi yang sama.
Dalam pada itu, penaja program tersebut, Dr. Ilyas Harun berkata, UiTM wajar menjadikan festival tersebut satu acara tahunan untuk mengetengahkan hasil karya penuntut terbabit.
Selain itu, pengarah program tersebut, Muhamad Azwan Aabad berkata, antara kategori yang dipertandingkan ialah penataan muzik terbaik, penataan seni dan kesan terbaik, suntingan terbaik, pengarah terbaik, jalan cerita terbaik, pelakon lelaki dan wanita terbaik, filem terbaik dan sebagainya.
Menurutnya, program yang julung kali diadakan itu sebagai mengiktiraf karya pelajar universiti tersebut dalam penghasilan filem pendek yang mana johan akan mewakili UiTM Pahang ke pertandingan di peringkat UiTM SeMalaysia nanti.

No comments:
Post a Comment