Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

Pengalaman berharga guru pelatih IPG

  NR       Thursday, March 29, 2012

NAJWA Md. Nasir (kanan) mengendalikan kegiatan kokurikulum Pengakap Kanak-kanak semasa latihan mengajar di SK Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 27 Mac - Latihan mengajar merupakan antara pengisian penting di Institut Pendidikan Guru (IPG) terutama dalam melahirkan guru lepasan ijazah yang berkewibawaan.

Program berkenaan bertujuan melaksanakan kaedah mengajar mata pelajaran tertentu di samping menerapkan elemen lain menerusi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang diterima oleh guru pelatih berkenaan semasa kuliah di IPG.

Bagi empat guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis yang kini mengikuti latihan mengajar selama tiga bulan cukup memberi pengalaman berharga kepada mereka.

Pembabitan latihan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 2, dekat sini membentuk sahsiah mereka selain berpeluang melaksanakan P&P dan pengetahuan yang diperoleh selama tujuh semester di IPGKTAA Lipis.

Guru pelatih PISMP bidang Matematik, Ooi Wen Bin, 23, berkata, penempatan latihan mengajar di sekolah berkenaan menambah pengalamannya mengenai kehidupan masyarakat Felda.

"Saya serasi mengajar di sini kerana pentadbir dan guru memberi tunjuk ajar bagi membolehkan saya bergelar guru terlatih nanti.

"Kesempatan itu juga dapat menajamkan kemahiran P&P saya kepada pelajar di tanah rancangan untuk memacu kecemerlangan akademik dalam subjek Matematik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bagi rakannya, Muhammad Fadzli Ismail, 23, peluang menjalani latihan di sekolah berkenaan dapat menjana kemahiran peribadi untuk bergaul dengan warga sekolah serta masyarakat di tanah rancangan itu.

"Kebolehan pelajar Felda sudah setanding dengan tempat lain khususnya pencapaian akademik dan kokurikulum," katanya.

Seorang lagi guru pelatih PISMP bidang Visual, Nadia Farhah Yusof, 23, berkata, program latihan itu bertujuan meningkatkan pengajaran dan kemahiran mendidik serta meningkatkan keyakinan mereka mengajar mata pelajaran tertentu.

Seorang guru pelatih dari institut itu, Najwa Md. Nasir, 23, menyifatkan peluang tersebut sesuatu yang sukar diperoleh kerana ia merupakan antara elemen penting sebelum menyelami dunia pendidikan sebenar.

"Saya berminat dengan kerjaya guru terutama dalam bidang visual kerana ia antara elemen baru yang sepatutnya diterapkan pada peringkat murid sekolah rendah," katanya.
logoblog

Thanks for reading Pengalaman berharga guru pelatih IPG

Previous
« Prev Post

No comments: