Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

Libasan UniMAP kian menggugat kehebatan regu UiTM

  NR       Thursday, March 29, 2012

BARISAN regu juara kelima-lima kategori meraikan kejayaan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Naib Canselor UniMAP di Kangar, baru-baru ini.

KANGAR 27 Mac - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mampu bergelar kuasa baru sepak takraw di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dalam sedikit masa lagi berdasarkan kepada prestasi regu mereka dalam kategori IPT Kejohanan Sepak Takraw Piala Naib Canselor UniMAP di Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Hanya kurangnya tuah dan pengalaman yang menyekat regu UniMAP A hingga tewas tipis 17-15, 10-15, 9-15 kepada jagoan sirkit Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Universiti Teknologi Mara (UiTM) A pada separuh akhir di Dewan Rakan Sukan Majlis Sukan Negeri.

Namun, tentangan dan jurang kecil mata yang ditunjukkan UniMAP A membuktikan mereka bukanlah regu belasahan seperti yang sering disangka, malah tidak lagi sekadar megah disanjung sebagai penganjur pertandingan yang berjaya tetapi gagal selaku peserta di gelanggang.

UniMAP diwakili lima regu yang bersaing dengan 13 regu antaranya dari UiTM, Politeknik Kulim, Maskom, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Universiti Kuala Lumpur dan Kepala Batas bagi kategori IPT dengan ganjaran berjumlah RM2,300.

Kemajuan pesat sepak takraw UniMAP banyak dibantu kerja keras dan penat lelah Pegawai Belia dan Sukannya, Mohd. Noorhakimi Marzukhi yang juga bekas pemain serba boleh skuad Universiti Malaysia dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2008.

Tiga regu UniMAP juga nyaris menguasai kategori Khas iaitu Pusat Sukan UniMAP dan Pilihan Perlis-UniMAP sebelum disekat Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) B dan C 1-2 pada separuh akhir selepas berentap liga sepusingan yang turut melibatkan penyertaan regu Raja Trek UniMAP yang diwakili pelari pecut, Latif Nyat.

Kejohanan tiga hari yang menawarkan hadiah wang hampir RM30,000 ini diadakan bersempena meraikan ulang tahun sedekad penubuhan UniMAP selain menampilkan satu lagi jenis sukan, bola jaring dengan empat kategori - Terbuka (lelaki dan wanita), IPT, Bawah 18 dan 12 Tahun.
logoblog

Thanks for reading Libasan UniMAP kian menggugat kehebatan regu UiTM

Previous
« Prev Post

No comments: