Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

Pelajar istimewa cemerlang mahu jadi pensyarah

  NR       Thursday, March 29, 2012

JELI 27 Mac - Mohamad Fakrul Hakimi Yusoff, 17, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Balah tidak sama dengan adik beradik dan rakan-rakannya.

Ini kerana, penyakit lemah separuh badan yang dihadapinya sejak lahir, menyebabkan Mohamad Fakrul Hakimi hanya bergerak menggunakan kerusi roda serta perlu dibantu jika hendak ke mana-mana.

Dugaan hidup yang dialami remaja itu sebenarnya tidak sedikit kerana ketika dia masih memerlukan perhatian dan belaian manja ibunya, Faridah Mat, 43, wanita itu terlebih dahulu meninggalkannya akibat sakit jantung kira-kira dua tahun lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik juga sering berjauhan dengan bapa mereka, Yusoff Mohd. Noor, 56, seorang pemandu lori yang bekerja di Pahang bagi mencari rezeki untuk menyara keluarga di kampung.

Bagaimanapun, Mohamad Fakrul Hakimi menjadikan semua dugaan tersebut sebagai pembakar semangat untuk berjaya dalam pelajaran dan terbukti apabila dia memperoleh keputusan cemerlang 5A, 1B+, 3C dan 1D dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan baru-baru ini.

"Kejayaan ini saya peroleh kerana ingin menyahut cabaran arwah ibu yang mahu saya menjadi seperti pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah. Malah, saya sering menjadikan buku tulisan beliau sebagai panduan dalam menghadapi peperiksaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurut Mohamad Fakrul Hakimi, kehidupannya kini banyak dibantu oleh neneknya, Fatimah Che Noh, 70; datuk, Mat Awang Him, 76; adik keduanya, Muhamad Ariff, 16, yang belajar di sekolah sama serta rakan-rakan.

Jelasnya, pada setiap hari, datuknya akan menghantarnya ke sekolah terletak kira-kira tiga kilometer, termasuk kelas tambahan pada sebelah malam dengan menaiki motosikal sehingga kadangkala terpaksa dipikul.

"Apabila tiba di sekolah, saya diletakkan ke atas kerusi roda yang sememangnya ditinggalkan di sekolah bagi kemudahan saya. Sekolah saya ada dua tingkat, tetapi saya hanya belajar di tingkat bawah.

"Walaupun susah untuk berjalan dan hanya dengan bantuan rakan, saya tetap berusaha untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kerana ingin menjadi pensyarah atau pakar motivasi seperti Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah," katanya.

Sementara itu, Fatimah memberitahu, cucunya itu seorang yang kuat semangat dan cekal untuk menimba ilmu walaupun mengalami kekurangan.
logoblog

Thanks for reading Pelajar istimewa cemerlang mahu jadi pensyarah

Previous
« Prev Post

No comments: