Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

HUSM mampu jimat RM10 juta

  NR       Thursday, March 29, 2012

Mohamed Salleh Yassin (dua dari kiri) menyerahkan replika perisian SGK kepada Omar Osman di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 27 Mac - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dijangka dapat menjimatkan kos penjagaan pesakit sehingga RM10 juta dalam tempoh setahun pelaksanaan perisian Sistem Gabungan Kes (SGK) hasil daripada inovasi United Nations University - International Institute for Global Health (UNU-IIGH) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, SGK merupakan sistem pengkelasan berasaskan kumpulan kes pesakit yang dibangunkan pihak UNU-IIGH dan UKM bagi membantu pengurusan kewangan hospital dan meningkatkan kecekapan serta digunapakai di 12 negara.

Katanya, pihaknya berbangga kerana HUSM menjadi hospital kedua di Malaysia yang menggunakan perisian tersebut selepas Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Kita yakin penjimatan yang kita peroleh kelak dapat mencapai sehingga 20 peratus daripada jumlah peruntukan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Objektif kita bukanlah pengurangan kos semata-mata tetapi kita dapat menambahbaik perkhidmatan dan menyalurkan penjimatan kepada bidang lain seperti penggantian alatan rawatan pesakit, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

"Pelaksanaan sistem itu perlu bagi memacu misi utama HUSM sebagai sebuah hospital universiti penyelidikan yang akan menjadi rujukan dalam segala aspek kepada semua hospital di rantau sebelah sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Perisian SGK daripada pihak UNU-IIGH yang diwakili pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Yassin kepada HUSM di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed; Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari dan Felo Penyelidikan Kanan UNU-IIGH, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid.

Sementara itu, Mohamed Salleh berkata, perkongsian pintar dengan HUSM bukan sahaja membabitkan penggunaan perisian tersebut tetapi juga berperanan membantu UNI-IIGH dalam proses kajian dan pembangunan (RND) berterusan sistem terbabit.

Beliau berkata, diagnosis oleh pakar dalam setiap bidang diambil kira sepenuhnya bagi program perisian tersebut kerana mereka yang akan menentukan perjalanan klinikal rawatan pesakit dan bukannya pentadbir sekali gus mengelak prosedur yang tidak perlu.

Katanya, sehingga kini terdapat lebih 10,000 hospital di luar negara menggunakan perisian itu termasuk di Indonesia, Filipina, Uruguay, Chile, Vietnam, China, Arab Saudi dan Mongolia.

Beliau memberi contoh, lebih 1,300 hospital di Indonesia mencatatkan penjimatan sehingga 25 peratus dari 2009 hingga 2011 hasil penyaluran maklumat yang cepat kepada setiap jabatan mengenai pembaziran dan penambahbaikan yang boleh dilakukan melalui aplikasi perisian tersebut.

"Perisian ini lebih baik daripada perisian sistem pengelasan lain kerana ia dapat mengadaptasi dan diubahsuai mengikut keperluan hospital, malah saya dimaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sedang meninjau kemungkinan ia dikembangkan ke seluruh dunia," katanya.
logoblog

Thanks for reading HUSM mampu jimat RM10 juta

Previous
« Prev Post

No comments: