Powered by Blogger.

Wednesday, March 28, 2012

Subjek Seni Perlu Diteliti Semula - Datuk Seri Dr Rais Yatim

  NR       Wednesday, March 28, 2012
KUALA LUMPUR -- Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah mencadangkan beberapa subjek berkaitan seni budaya dan apriasi seni di sekolah diteliti semula bagi menanam minat dan cinta kepada seni pada
kalangan pelajar.    

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata perkara itu telah diusulkan kepada Kementerian Pelajaran dan dirancang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun hadapan jika cadangan diterima.    

"Sistem pendidikan kita sebenarnya tidak ada mengajar anak-anak supaya cinta kepada seni. Ini saya lalui sendiri dan mendapati asakan dan galakan untuk mencintai seni itu tidak ada.

"Seni sebenarnya berkembang di tanah air kita secara kebetulan dan kita perlu ada sistem yang menggalakkan fesyen, rekaan, penulisan kreatif dan sebagainya, yang boleh dimajukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tekstil Sedunia sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2012, di sini hari ini.

Simposium yang bertemakan "Memperkayakan Komuniti Melalui Inovasi Kraf" tersebut berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan disertai kira-kira 400 peserta dari dalam dan luar negara.

Rais berkata badan seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Institut Kemahiran Kraf akan mencari jalan dan kaedah untuk menghidupkan seni itu daripada segi pendidikan dalaman atau luaran.

"Saya lihat di China misalnya, ada sekolah seni dan mereka diajar bagaimana untuk berlumba dalam dunia seni dan cinta kepada seni itu sehingga kepada tahap yang boleh dijadikan sebagai mata pencarian," katanya.

Ditanya sama ada itu akan dilaksanakan di peringkat sekolah rendah atau menengah, beliau berkata banyak aspek yang perlu dibincangkan dengan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum dilaksanakan di peringkat yang
munasabah.

Sementara itu, Rais berkata kementerian akan meminta Kraftangan Malaysia melaksanakan kajian berhubung gaya generasi muda dan generasi pertengahan berpakaian serta persoalan lain sebagai usaha memajukan industri tekstil negara.

Katanya kementerian akan menyediakan peruntukan tambahan bagi menjalankan penyelidikan tersebut yang juga bertujuan mewujudkan kesedaran pada kalangan rakyat untuk mencintai warisan negara.

Rais berkata langkah itu berikutan industri tekstil negara belum berada pada tahap kompetitif akibat lambakan bahan tekstil dan pakaian dari luar di dalam negara, selain nilai rakyat terhadap pakaian dari luar negara yang berada pada tahap lebih tinggi berbanding pakaian buatan tempatan. 

"Kita harus mencari jalan bagi memajukan industri tekstil negara dengan melihat China menguasai 30 peratus daripada pasaran tekstil dunia. Nilai dagangan tekstil di seluruh dunia adalah di sekitar US$400 bilion setahun.

"Jika kita mahu menjadi sebahagian daripada sektor perdagangan tekstil seperti itu, kita harus memperluaskan daya tarikan kita kepada dunia luar dan mencerna nilai dalam negeri sendiri supaya lebih ramai rakyat Malaysia suka memakai batik, songket atau rekaan yang mencerminkan sosio budaya kita," katanya.

Katanya kementerian juga akan memajukan muzium tekstil dan mengadakan pameran bagi memaparkan beberapa artifak berkaitan tekstil di rantau ini untuk menarik minat pengunjung serta penggiat dan usahawan tekstil tempatan. -- Bernama
logoblog

Thanks for reading Subjek Seni Perlu Diteliti Semula - Datuk Seri Dr Rais Yatim

Previous
« Prev Post

No comments: