Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

Tingkatkan ilmu melalui bacaan, bimbingan guru

  NR       Thursday, March 29, 2012

Sebahagian pelajar sekolah membaca buku selepas majlis penutup Kempen Merakyatkan Budaya Membaca peringkat Seremban di Masjid Negeri, di Seremban, semalam.


SEREMBAN 27 Mac - Membaca dalam kehidupan umat Islam pada hari ini merupakan satu kewajiban kerana ia dapat meningkatkan ilmu dan menghindarkan diri daripada diperkotak-katikan mahupun ditindas orang lain.


Pengerusi Jawatankuasa Akidah negeri, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki berkata, pembacaan adalah asas kepada agama dan perintah Allah kepada Nabi Muhammad SAW dalam ayat pertama yang diperturunkan iaitu 'Iqra', merujuk kepada membaca.


"Jadilah orang yang benar-benar beragama dan jika benar kita menganut agama Islam seumpama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, maka mestilah kita menjadikan pembacaan itu sebagai asas kepada kehidupan kita," katanya di Masjid Negeri, di sini hari ini.


Syeikh Muhammad Fuad menyampaikan syarahan bertajuk Iqra dan Masjid sempena Kempen Merakyatkan Budaya Membaca peringkat daerah ini di Masjid Negeri, di sini. Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.


"Kita tidak mahu dengar lagi orang mengatakan masyarakat barat lebih banyak membaca dari rakyat kita dan kita tidak mahu dengar lagi orang Jepun kuat membaca.


"Hal ini tidak pernah berlaku sewaktu zaman kegemilangan Islam kerana membaca itu adalah kehidupan dan membaca itu juga adalah roh kepada jasad umat Islam, selain keafiatan bagi umat Islam keseluruhannya," ujarnya.


Beliau yang juga pengasas Yayasan Sofa menjelaskan, ulama terdahulu tidak merasa lazat dalam kehidupan mereka melainkan setelah mana duduk seorang diri dalam rumah dan menjadikan buku mahupun kitab sebagai teman.


Katanya, umat Islam sepatutnya juga mempunyai perpustakaan sendiri di rumah kerana ulama terdahulu menjadikan ruang yang ada di rumah mereka sebagai tempat buku dan rujukan sepanjang hayat.


"Tiada perpustakaan di rumah, itu satu musibah kepada umat Islam. Bagaimana ilmu hendak diperoleh, jika bahan bacaan tidak ada di rumah. Bagaimana ia boleh dimanfaatkan jika, bahan rujukan tidak ada. Bila kita tidak faham, rujuklah kepada guru yang betul.


"Kita mesti ada jati diri, kembalikan kegemilangan ilmu dan awali dengan buku mahupu kitab dan membaca, kemudian memahami, mengamalkannya, menyebarkannya serta berusaha mewujudkan institusi sebagai benteng kepada ilmu berkenaan," tegas Syeikh Muhammad Fuad.


Program ini dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan pengurusan Masjid Negeri melalui Jawatankuasa Gerakan Membaca Daerah Seremban.

logoblog

Thanks for reading Tingkatkan ilmu melalui bacaan, bimbingan guru

Previous
« Prev Post

No comments: