Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

UPM kaji kesan penubuhan MPPT

  NR       Thursday, March 29, 2012

TEMERLOH 27 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) dilantik membuat kajian terhadap keberkesanan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) yang ditubuhkan pada Mac 2008 dalam usaha menjadikan daerah ini makmur dan maju selari dengan kemajuan negara.

Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, MPPT ialah mini Parlimen peringkat tempatan yang dianggotai wakil sektor kerajaan, politik, perniagaan dan masyarakat sivil untuk membincangkan pembangunan komuniti dalam memenuhi sasaran enam bidang pembangunan tumpuan.

''Barisan penyelidik dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia UPM yang diketuai Dr. Sarjit S.Gill akan mengedarkan borang kaji selidik kepada responden tempatan.

''Penyelidik ini akan bertanyakan pelbagai soalan, antaranya sama ada penubuhan MPPT mampu meningkatkan tahap pembangunan komuniti Temerloh," katanya kepada Utusan Malaysia selepas persidangan MPPT di Dewan Tun Razak Temerloh, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, pada prinsipnya MPPT sangat baik kerana memberi peluang kepada pemimpin akar umbi untuk menyampaikan idea bagi melonjakkan pembangunan Temerloh.

Katanya, melalui penubuhan MPPT ini secara langsung semua dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih jelas kepada pemimpin tempatan.

Tambah beliau, sebarang kejayaan dalam enam bidang pembangunan tumpuan Parlimen Temerloh akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA).

''Pada masa sama kejayaan TKRA akan menjadi penggerak kemajuan kepada kejayaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.

Saifuddin menegaskan, soal selidik ini sangat penting untuk memastikan kewujudan TKRA sebagai platform terbaik bagi mendapatkan pandangan rakyat dalam membentuk dasar pembangunan komuniti Temerloh.
logoblog

Thanks for reading UPM kaji kesan penubuhan MPPT

Previous
« Prev Post

No comments: