Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

UTeM tekad ungguli Proton Green Mobility Challenge 2012

  NR       Thursday, March 29, 2012

Dr. Ahmad Yusoff Hassan (dua dari kanan) menerima replika kunci Proton Saga yang akan menyertai pertandingan Proton Green Mobility Challenge 2012 daripada Najib Tun Razak di Putrajaya, baru-baru ini. Turut serta Mohamad Nadzmi Mohamad Salleh (dua dari kiri) dan Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kiri).

MELAKA 27 Mac - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bertekad mengungguli pertandingan inovasi automotif yang berteraskan teknologi hijau, Proton Green Mobility Challenge 2012 yang akan berlangsung Oktober ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, pasukan UTeM menggabungkan tenaga antara Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) yang menggalas cabaran menghasilkan kereta elektrik pada pertandingan tersebut.

"Proton Green Mobility Challenge merupakan satu pertandingan membangunkan kereta elektrik mesra alam menggunakan model Saga dan berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang ada di UTeM, kami yakin akan memberi saingan kepada pasukan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan replika kunci kereta Proton di Putrajaya yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Mohamad Nadzmi Mohamad Salleh dan Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Pertandingan tersebut adalah anjuran Proton dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) bertujuan memupuk budaya inovasi di kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara bagi menepati kehendak industri dan kerajaan.

Menurut Dr. Ahmad Yusoff, kerjasama daripada tiga fakulti di universiti itu bakal menghasilkan kenderaan elektrik yang mesra alam di samping memiliki tahap prestasi tinggi seperti yang diharapkan.

Sementara itu, IPT yang terpilih diberi peruntukan RM20,000 bagi menjayakan pertandingan akhir yang akan diadakan dari 4 hingga 7 Oktober di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
logoblog

Thanks for reading UTeM tekad ungguli Proton Green Mobility Challenge 2012

Previous
« Prev Post

No comments: