Powered by Blogger.

Sunday, October 13, 2013

6 Pelajar Tingkatan Enam Dibuang Asrama Kerana Sukan

  NR       Sunday, October 13, 2013
TIDAK PUAS HATI: Evelyn (dua kiri), Bargang, Leonard (kanan) bersama anak-anak mereka menunjukkan surat dibuang asrama di Limbang semalam.

LIMBANG: Gara-gara menyertai final Liga Premier petang kelmarin, enam pelajar tingkatan enam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong terpaksa menerima tindakan disiplin dibuang asrama berkuat kuasa semalam.

Lebih menyedihkan semua pelajar berkenaan merupakan pelajar aktif dan ada antara mereka merupakan wakil Sarawak dalam sukan bola sepak dan beberapa kali menerima anugerah cemerlang dalam sukan tersebut.

Tindakan tidak wajar tersebut bukan sahaja menyebabkan ibu bapa keenam-enam pelajar berkenaan terkejut dan tidak berpuas hati, malah dikhuatiri boleh menjejaskan emosi dan tumpuan mereka yang bakal menduduki STPM tidak lama lagi.

Ibu bapa pelajar terbabit, Bargang Man dari Kampung Tanjung Limbang menyifatkan keputusan pengetua mengenakan tindakan tatatertib dibuang asrama adalah tidak wajar kerana anaknya Jason merupakan pelajar yang aktif dalam sukan bola sepak.

“Saya rasa tidak puas hati dengan tindakan pengetua berkenaan mengenakan tindakan tersebut tanpa berbincang dengan ibu bapa.

“Malah, anak saya merupakan bekas pelajar sukan daripada SMK Tabuan Jaya, Kuching dan pernah mewakili Sarawak dalam sukan bola sepak,” katanya dengan nada kecewa ketika ditemui di sini semalam.

Bargang menjelaskan, penyertaan anaknya bersama pasukan FELDA United yang terlibat dalam Liga Premier di sini mendapat sokongan penuh daripada keluarganya.

“Selama ini, saya sentiasa menyokong anak saya dalam sukan.

“Tindakan pihak sekolah berkenaan tidak wajar kerana tidak selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan sendiri yang melaungkan konsep 1Murid 1Sukan,” katanya.

Beliau menambah, anaknya bersama lima pelajar lain tidak pernah melanggar peraturan sekolah, malah surat pelepasan pelajar juga diberikan kepada pihak sekolah bagi memaklumkan bahawa mereka mengadakan latihan.

“Anak saya terlibat dalam perlawanan sukan kerana dia memang mempunyai minat terhadap bidang itu.

“Dia bukan melakukan kesalahan besar seperti merokok atau ponteng sekolah,” ujarnya.

Jelasnya, pengetua terbabit seharusnya faham mengenai minat pelajarnya termasuk memberi sokongan dan bukannya menghalang, lebih-lebih lagi anaknya bakal menduduki STPM.

Bargang berkata, pihak sekolah seharusnya mengadakan perbincangan dengan ibu bapa terbabit sebelum mengeluarkan surat tindakan dibuang asrama.

Bagi Leonard Libau Ngumbang dari Medamit, tindakan bermain untuk Liga Premier bukannya satu kesalahan besar kerana pihak sekolah sudah dimaklumkan awal melalui surat sebelum ini.

“Saya tahu anak saya mempunyai bakat dalam sukan bola sepak selain cemerlang dalam akademik.

“Saya bimbang, gara-gara surat tersebut, emosi anak saya akan terganggu sekali gus boleh menjelaskan pelajaran dan keputusan sekolah itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah sewajarnya memberi tumpuan bukan sahaja dalam bidang akademik malah kokurikulum.

“Anak saya pernah memberitahu, beliau memang minat belajar, tetapi pada masa sama juga minat untuk bersukan.

“Seharusnya mereka disokong dan bukannya dihalang dengan mengambil tindakan terburu-buru yang boleh menjejaskan reputasi pelajar,” jelasnya.

Seorang lagi ibu bapa pelajar terbabit, Evelyn Radin memberitahu bahawa beliau hanya mengetahui mengenai surat tersebut semalam tanpa ada perbincangan dengan pihak sekolah.

Beliau yang agak kecewa dengan tindakan pengetua terbabit menjelaskan satu surat sudah diserahkan kepada pengetua mengenai penyertaan anaknya dalam final Liga Premier sebelum ini.

“Ini bermaksud pengetua tersebut sudah tahu dan sudah dimaklumkan mengenai penglibatan anak saya dalam perlawanan bola sepak.

“Kalau dia menyokong minat pelajarnya, dia tidak mengenakan tindakan buang asrama gara-gara pelajarnya terlibat dalam sukan,” katanya.

Evelyn berkata, dalam surat tersebut pengetua terbabit mengatakan anaknya keluar asrama tanpa kebenaran walaupun sudah dimaklumkan awal sebelum perlawanan.

“Saya hairan kenapa pengetua terbabit mengatakan anak saya keluar asrama tanpa kebenaran, walaupun dia sudah dimaklumkan melalui surat lebih awal. Lainlah kalau pengetua terbabit tidak dimaklumkan.

“Lebih menghairankan pengetua terbabit juga menganggap perbuatan menyertai aktiviti sukan sebagai satu kesalahan berat,” katanya.

Utusan Borneo
logoblog

Thanks for reading 6 Pelajar Tingkatan Enam Dibuang Asrama Kerana Sukan

Previous
« Prev Post

No comments: