Powered by Blogger.

Monday, September 06, 2010

Al-Quran Pertama Dalam Bahasa Iban

  NR       Monday, September 06, 2010
As-Sarawaki, 14 Muharram 1431H: Enggau nama Allah Petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang). Alhamdulillah, segala puji bagi Allah! Entri ini adalah kesinambungan entri Penterjemah Al-Qur’an Ke Dalam Bahasa Iban & Kadazan. Setinggi-tinggi tahniah buat Puan Ainon Mohd, Presiden Universiti Terbuka PTS dan seluruh warga PTS di atas usaha menterjemah dan menerbitkan al-Quran ke dalam bahasa Iban. Saya terharu dan bersyukur dengan komitmen PTS dalam menjadikan inisiatif ini satu realiti! Insya Allah dengan adanya naskah Al-Qur’an terjemahan ke dalam Bahasa Iban akan dapat membantu usaha dakwah khususnya di bumi Sarawak yang tercinta. Saudara Kita pastinya gembira dengan ikhtiar mulia ini! Sama-sama kita doakan yang terbaik.  

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam Surah Al-Ikhlas:  
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
1. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. 
   
Terjemahan Surah Al-Ikhlas ke dalam Bahasa Iban:
Enggau nama Allah Petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau.
1. Sebut meh (ulih nuan oh nabi Muhammad): “Allah Taala tu Petara ti siko aja (nadai dua nadai tiga);
2. Allah Taala tu endor semua utai begantong serta dikarap;
3. Ia nadai beranak lalu nadai mega diperanak ke sapa-sapa;
4. Lalu nadai mega sapa-sapa ti sama tauka sebaka enggau Ia”.
 
Berikut adalah petikan berita dari Malaysiakini:  

Al-Quran pertama dalam bahasa Iban
Salhan K Ahmad | Dec 30, 09 2:13pm  

Terjemahan pertama al-Quran dalam bahasa Iban akan mula diterbitkan tahun depan bagi membantu golongan penutur bahasa tersebut memahami kitab suci Islam itu.Projek penerbitan itu dimulakan dengan terjemahan edisi muqaddam, kemudian diikuti teks lengkap al-Quran pada 2011, kata pengerusi kumpulan syarikat PTS.Terjemahan itu berpandukan naskhah terjemahan paling popular dalam bahasa Melayu Pimpinan al-Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Ainon Mohd lagi.  

Beliau juga berkata terjemahan tersebut akan menjadi naskhah lengkap terjemahan al-Quran dalam bahasa etnik terbesar di Sarawak.  

“Terjemahan ini menggunakan bahasa Iban laras halus, sebagaimana yang digunakan oleh penutur aslinya. Belum ada lagi naskhah sedemikian,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.  

“Justeru, individu keturunan Iban yang berminat mengetahui isi kandungan al-Quran memang mengalami masalah tiada bahan rujukan.  

“Bukan semua orang Iban mampu membaca dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Lagipun membaca dalam bahasa ibunda lebih mudah difahami,” kata bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu lagi.  

Tambahnya, sasaran utama bagi penerbitan yang diusahakan PTS Darul Furqan Sdn Bhd itu antaranya golongan muallaf yang bertutur dalam bahasa tersebut.  

“Iban adalah bahasa kaum bumiputera yang terbesar di Sarawak, oleh itu kami dapati ada pasaran niche bagi buku-buku dalam bahasa Iban,” katanya dalam wawancara melalui emel.  

“Golongan yang akan mendapat manfaat paling baik daripada penerbitan buku ini nanti adalah individu keturunan Iban yang sudah memeluk Islam, atau mereka yang mungkin akan memeluk Islam kerana mempunyai rancangan berkahwin dengan pasangan Islam.  

“Namun kita yakin, masyarakat Iban yang tidak berminat dengan Islam pun tetap akan mendapat manfaat apabila membacanya kerana mereka akan dapat memahami dengan betul perbezaan-perbezaan pelbagai aliran agama di Malaysia.”  

Ainon menunjukkan satu contoh terjemahan al-Quran itu seperti dimuatkan di blog peribadinya Universiti PTS.  

Ayat 1 dan 2 surah al-Asr dalam bahasa itu berbunyi: “Enggau nama Allah petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau. Allah petara ti siko besumpah enggau ari. Semua anak mensia nyadi rugi.”  

Ainon menjelaskan, projek dengan kos percetakan RM30,000 itu akan meluaskan penyebaran al-Quran dalam apa juga bahasa di dunia.  

Tambahnya, 3,000 naskah muqaddam dan 3,000 lagi teks al-Quran bagaimanapun belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jakim.  

“Pihak KDN dan Jakim boleh menubuhkan kumpulan penyemak dengan menggunakan khidmat guru agama keturunan Iban, ahli akademik, dan pendakwah lulusan aliran pengajian Islam yang boleh membaca dan mamahani bahasa Iban,” katanya lagi.  

Naskhah terjemahan tersebut akan dihantar kepada KDN dan Jakim untuk semakan sebelum proses percetakan, tambahnya.   

Berikut adalah beberapa contoh terjemahan Al-Qur’an dalam Bahasa Iban yang dipetik dari blog Puan Ainon Universiti Terbuka PTS:


Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala ini mengandungi ajaran kepada Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tentang methodologi pelaksanaan dakwah, atau seruan kepada manusia agar mereka berjalan di atas Jalan Allah (Fi Sabilillah) atau Jalan Yang Lurus (Shiratahal Mustaqim) yakni Agama yang benar (Ad-Dinul Haqq). Melalui ayat ini, Allah Subhanahu Wa Ta’ala menuntun Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk melakukan dakwah melalui tiga cara iaitu dengan hikmah (kebijaksanaan), al-mau’izhatul hasanah (pengajaran yang baik) dan jadilhum billati hiya ahsan (bantahlah mereka dengan dengan cara yang baik atau dewasa ini disebut sebagai berdebat). 

Nota: Benarlah Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang Akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kafakirannya antara kedua matanya. Allah cerai beraikan segala urusannya dan dunia pula tidak akan datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina).” (Hadith Riwayat al-Tirmidzi).   

Wallahu a’lam bissawab.  

logoblog

Thanks for reading Al-Quran Pertama Dalam Bahasa Iban

Previous
« Prev Post

No comments: