Powered by Blogger.

Wednesday, July 27, 2011

107 guru Kemas peroleh diploma sulung UPSI

  NR       Wednesday, July 27, 2011
TANJUNG MALIM 26 Julai - Seramai 107 guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperolehi Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Ke-13 di sini, yang bermula hari ini.

Mereka merupakan kumpulan pertama guru Tabika Kemas yang berjaya menamatkan pengajian mereka di UPSI bersama 5,340 graduan lain yang memperolehi diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) masing-masing pada istiadat yang berlangsung selama lima hari itu.

Sijil disampaikan Canselor UPSI, Tuanku Bainun. Turut hadir anakanda baginda, Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob.

Istiadat tersebut turut menyaksikan Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf dan tokoh pendidik, Prof. Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid menerima Ijazah Kehormat UPSI.

Guru Tabika Kemas Chini Tiga di Pekan, Pahang, Norizan Abu Bakar, 45, berkata, kesibukan beliau dalam membimbing kanak-kanak prasekolah di tabika tersebut tidak pernah memadamkan semangatnya untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, semangat yang tinggi untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kerjayanya tidak pernah pudar meskipun pernah kecewa sebelum ini selepas diploma yang pernah diperolehinya dari sebuah kolej swasta tidak diiktiraf oleh mana-mana pihak.

"Saya akui pernah sedih setelah banyak masa dan wang dibazirkan begitu sahaja untuk memperoleh segulung diploma sebelum ini.

"Namun, selepas itu saya berazam untuk melupakan perkara tersebut dan mendongak ke hadapan demi mengembangkan potensi saya sekali gus memberi input yang berguna untuk anak-anak murid saya," katanya.

Rakannya, Azizan Ibrahim, 39, yang turut melalui pengalaman yang sama turut berasa kecewa namun kehadiran ahli keluarga terutama suami dan anak-anak telah mendorong beliau untuk menyahut saranan kerajaan supaya golongan pendidik sepertinya menghayati konsep pembelajaran sepanjang hayat.

"Pelajaran kini adalah penting dalam usaha kita meningkatkan potensi diri serta menggalakkan mobiliti sosial. Saya menyeru guru-guru Tabika Kemas seperti saya untuk mengikut jejak kami bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara," ujar guru Tabika Kemas Nurul Ehsan, Petaling Jaya itu.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 107 guru Kemas peroleh diploma sulung UPSI

Previous
« Prev Post

No comments: