Sekadar Gambar Hiasan
KUCHING: Beban dan tanggungjawab yang dipikul guru di luar waktu persekolahan patut diambil kira sebelum meningkatkan jumlah jam golongan pendidik itu bekerja.
Ketika ditemui pemberita semalam, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah memberitahu profesion perguruan cenderung untuk disalah faham sebagai profesion ‘setengah hari’ kerana ramai yang tidak mengetahui kerjaya itu merangkumi aspek-aspek lain, selain mengajar di kelas.
“Orang ramai kadang-kadang melihat bahawa profesion perguruan hanya bekerja setengah hari dari Isnin hingga Jumaat.
“Tetapi sebenarnya terdapat aspek-aspek lain yang orang awam tidak nampak seperti penyediaan rancangan pelajaran harian dan mingguan, menandakan kertas peperiksaan dan menyelia aktiviti-aktiviti kokurikulum, “katanya selepas merasmikan Seminar Kesedaran Kanser Payudara di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menghendaki golongan pendidik itu untuk bekerja sembilan jam sehari.
Baru-baru ini, beberapa guru menyuarakan ketidaksetujuan mereka mengenai cadangan JPA yang mahu guru-guru bekerja sembilan jam sehari.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina berkata cadangan itu seolah-olah mengatakan guru-guru di negara ini tidak bekerja cukup apabila kebanyakan, jika tidak semua, guru-guru telah bekerja lebih daripada 10 jam sehari.
Menurut Fatimah, guru juga dikehendaki untuk menghadiri seminar dan kursus-kursus dari semasa ke semasa.
Beliau yang juga bekas pengetua turut mengimbau kembali di mana beliau perlu menandakan kertas peperiksaan walaupun dalam cuti bersalin.
Katanya, cadangan untuk guru-guru bekerja sembilan jam sehari mungkin disebabkan oleh hakikat bahawa rakyat telah mula membezakan faedah beban kerja dan kewangan di antara guru dan profesion lain dalam perkhidmatan awam.
“Dengan ganjaran yang diterima oleh guru baru-baru ini mungkin orang ramai mula membezakan dan mempersoalkan mengapa guru diberi faedah jika mereka hanya bekerja setengah hari,” katanya.
Fatimah seterusnya berkata, idea itu tidak dapat dilaksanakan kerana ruang yang sangat terhad di dalam bilik guru terutama di sekolah-sekolah bandar dan dua sesi.
“Guru malah berkongsi meja yang sama untuk sesi pagi dan petang.
Jadi ia tidak mudah untuk memaksa mereka tinggal di sekolah untuk melakukan kerja tambahan mereka. Itu keanehan dua sesi,” katanya.
-UB
No comments:
Post a Comment