MIRI: Tiga lelaki
termasuk seorang remaja yang ditangkap kerana disyaki mencuri sebuah motosikal
kepunyaan seorang guru diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya
direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Gerald Empaling Donald setelah
membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Chiu Ann
Yan dari Balai Polis Pusat Miri.
Dalam permohonannya, Chiu memberitahu pada 28 November lalu,
seorang guru telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung
kehilangan motosikalnya.
Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 4.30 pagi hari sama,
beliau telah meletakkan motosikalnya di hadapan Pusat Kesihatan Bersih di Jalan
Nort Yu Seng dalam keadaan berkunci untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat
subuh.
Selesai solat, pengadu terus pergi ke arah motosikalnya dan
mendapati motosikalnya jenis Modenas Kriss berwarna biru dan bernombor
pendaftaran QMF17xx telah hilang dipercayai dicuri. Kerugian dialami
dianggarkan bernilai RM2,000.
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 8.30 malam, 28
November lalu, polis telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Lawas, Taman Tunku
dan berjaya menahan dua lelaki serta merampas sebuah motosikal yang dilaporkan
hilang oleh pengadu dari rumah berkenaan.
Hasil siasatan lanjut polis terhadap dua lelaki terbabit telah
membawa kepada penangkapan suspek ketiga di sebuah premis di Jalan North Yu
Seng di sini pada jam 9.20 malam hari sama.
Dalam permohonan lanjutnya, Chiu berkata reman empat hari mengikut
peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas ketiga-tiga suspek yang
berusia, 43, 48 dan 18 tahun amat diperlukan untuk membolehkan polis
menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.
Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan
berhemat kesemua suspek dan membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan
siasatan lanjut polis.
- UB
No comments:
Post a Comment