MELAKA 14 Nov. - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi memperkasakan pertumbuhan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, peruntukan itu diterima sejak 2007 bagi menguruskan beberapa projek seperti pemasangan infra broadband, projek perintis rangkaian bersepadu ICT, projek merapatkan jurang digital dan pemasangan infra fibre optik.
Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan tersebut digunakan untuk pemasangan kemudahan jalur lebar (WiFi) kepada penduduk di Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.
''Sebanyak 715 lokasi dicadangkan pada tahun ini untuk pemasangan WiFi lokasi hotspot danhotzone.
''Sehingga suku kedua tahun ini, data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebanyak 706 lokasi hotspot siap dipasang di negeri ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga (Bajet) Penggal Keempat, di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Mohd. Ali (BN-Bukit Baru) menjawab soalan yang dikemukakan Ab. Rahman Ab. Karim (BN-Pantai Kundor) berkaitan nilai peruntukan yang diterima oleh kerajaan negeri daripada Kerajaan Pusat bagi memperkasakan pertumbuhan ICT di negeri ini.
Menjawab soalan tambahan Ab. Rahman mengenai perkembangan ICT berkaitan aspek penggunaan, skill di kalangan rakyat di negeri ini beliau berkata, sehingga September lalu, sebanyak 94 program latihan melibatkan 3,165 pelatih telah diadakan.
Program yang diadakan itu katanya merangkumi cara menggunakan komputer, melayari Internet dan penggunaan media sosial.
Bagi latihan peringkat pertengahan kata Mohd. Ali, ia merangkumi aplikasi pengurusan pejabat, tiga dimensi dan suntingan kursus yang dibuat di bawah e-Melaka.
''Kaji selidik yang dijalankan mendapati 12.1 peratus peserta menggunakan perkhidmatan internet manakala 2.9 peratus lagi menggunakan perkhidmatan online booking," katanya.
- Utusan
- Utusan

No comments:
Post a Comment