Powered by Blogger.

Tuesday, November 15, 2011

Lihat Secara Positif Guru Bertugas Sembilan Jam

  NR       Tuesday, November 15, 2011

Warga pendidik di negeri ini dinasihatikan agar tidak cepat melatah dengan pelaksanaannya

KUCHING: Warga pendidik di negeri ini dinasihati agar tidak cepat melatah dengan pelaksanaan projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari sebaliknya melihatnya daripada aspek positif.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata sebagai projek perintis ia boleh memberi maklum balas kepada Kementerian Pelajaran tentang mekanisme yang perlu dilaksanakan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan negara.

“Seperti yang dimaklumkan oleh kerajaan ini hanyalah projek perintis dan sebarang penambahbaikan yang hendak dilaksanakan perlu melihat aspek kesediaan guru dan kemudahan di sekolah terbabit.

“Guru harus melihat projek perintis ini daripada sudut positif, pertama orang awam tahu tugas guru yang sebenarnya yang sebelum ini hanya dilihat bertugas satu sidang tetapi hakikatnya lebih panjang kerana tugas-tugas di luar sekolah tidak pernah diambil tahu,” katanya kepada Utusan Borneo menerusi temu bual telefon semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam yang menggesa Kementerian Pelajaran membatalkan sahaja projek perintis itu atas alasan ia tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada warga pendidik.

Fatimah berkata guru sebaliknya harus memberi maklumat yang tepat mengenai masalah serta kekangan dihadapi setelah projek perintis mula dilaksanakan agar penambahbaikan dapat dilakukan.

“Misalnya, adakah tugas-tugas lain seperti membuat persiapan mengajar harian, mingguan dan bulanan, menyemak latihan serta kertas peperiksaan pelajar dapat dilaksanakan di sekolah dalam tempoh sembilan jam bertugas itu. Dapat siap atau tidak.

“Kedua, adakah bilik guru mencukupi untuk menampung jumlah guru lebih-lebih lagi bagi sekolah yang melaksanakan dua sidang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sebagai bekas pengetua bebanan guru semakin hari semakin meningkat berikutan transformasi sistem pendidikan negara ditambah dengan penilaian berasaskan sekolah yang menuntut banyak tugas guru.

Beliau menambah orang awam gagal melihat tugas guru di luar sekolah seperti terpaksa membawa buku latihan dan kertas peperiksaan balik ke rumah untuk disemak kerana keadaan bilik guru yang sempit.

Selain itu setiap guru katanya diberi tugas sebagai guru penasihat kelab, persatuan dan kegiatan kokurikulum lain yang menuntut mereka turun ke sekolah pada hari Sabtu selain menjadi pengawas peperiksaan-peperiksaan awam.

“Pada era saya sebagai pendidik, guru akan dipanggil ke sekolah pada hari Sabtu mengikut keperluan dan mereka tidak pernah merungut kerana itu adalah tanggungjawab murni yang harus dilaksanakan.

“Memang ada yang berkira tetapi jumlahnya adalah sedikit tetapi umumnya mereka tidak pernah berkira, belum lagi jika diarah turun menjalani kursus dan sebagainya,” jelasnya.

Ahad lepas Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina memberitahu Bernama, Kementerian Pelajaran memilih 19 sekolah rendah dan menengah di Sarawak, kesemuanya terletak di bandar raya ini untuk melaksanakan projek perintis berkenaan.

Beliau memberitahu daripada jumlah itu, 11 adalah sekolah rendah dan lapan lagi sekolah menengah.

Sekolah rendah yang dipilih katanya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Chung Hua No.2, SK Chung Hua Sungai Buda, SK Bako, SK Bandar Semariang, SK Combine, SK Kenyalang, SK Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, SK Satria Jaya, SK St Mary dan SK St Teresa.

Sekolah menengah yang dipilih pula ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuching No.2, Sekolah Seni Kuching, SMK Tabuan Jaya, Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, SMK St Joseph, Kolej Vokasional Batu Lintang, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor Stampin dan SMK Agama Tun Ahamd Zaidi.

“Diharap selepas pelaksanaan projek perintis ini, gambaran sebenar beban tugas guru dapat diketahui kerana kini ada persepsi menganggap tugas guru terhad pada Isnin hingga Jumaat sahaja,” katanya.

Sementera itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka siong berkata selain di Sarawak projek itu turut dilaksanakan di Melaka, Pahang dan Johor dengan membabitkan 5,000 guru dan 104 sekolah di seluruh negara.

- UB
logoblog

Thanks for reading Lihat Secara Positif Guru Bertugas Sembilan Jam

Previous
« Prev Post

No comments: