Powered by Blogger.

Saturday, January 07, 2012

Celoteh Murid Tahun 1 Warnai Hari Pertama, Ibubapa Turut Lihat Gelagat Anak

  NR       Saturday, January 07, 2012

Sebahagian ibu bapa menunggu anak-anak mereka yang mula memasuki tahun satu di luar bilik darjah Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah,Kuantan, kelmarin.




KUANTAN 5 Jan. - Hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2012 di daerah ini yang bermula semalam dipenuhi dengan pelbagai aksi dan ragam terutama di kalangan murid tahun satu.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di sini mendapati kebanyakan bilik darjah yang menempatkan murid tahun satu gamat bukan dengan tangisan tetapi celoteh murid-murid tersebut.

Mereka dilihat tidak segan untuk menyapa antara satu sama lain dan mengangkat tangan untuk menjawab pertanyaan cikgu.

Selain itu, tidak ketinggalan kelibat para ibu bapa yang semestinya mahu melihat gelagat anak mereka di hari pertama persekolahan.

Tenaga pengajar pula dilihat sudah bersedia dengan teknik pengajaran terbaik bagi memastikan ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak didik mereka sampai dengan tepat dan betul.

Guru Besar SK Tunku Azizah, Hazizah Ujang berkata, seramai 180 murid tahun satu memulakan persekolahan di sekolah itu hari ini melibatkan 98 lelaki dan 82 perempuan.

"Kesemua murid tahun satu hari ini dilihat tidak kekok berada di sekolah ini kerana mereka telah menjalani sesi orientasi pada 30 Disember tahun lalu," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, ibu bapa sememangnya tidak dibenarkan menunggu anak-anak mereka di sekolah kerana ia boleh menjejaskan tumpuan murid terhadap proses pembelajaran.

"Tetapi, untuk hari pertama persekolahan, kita benarkan kerana ramai ibu bapa telah mengambil cuti untuk melihat sendiri sesi persekolahan pertama anak-anak mereka.

"Pada sesi orientasi, saya juga telah maklumkan kepada mereka (ibu bapa) bahawa semasa di sekolah, biarlah pihak sekolah yang menguruskan anak-anak mereka," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Celoteh Murid Tahun 1 Warnai Hari Pertama, Ibubapa Turut Lihat Gelagat Anak

Previous
« Prev Post

No comments: