Powered by Blogger.

Saturday, January 21, 2012

Kerajaan Negeri Johor Bina 96 Sekolah Agama Dalam Tempoh 2 Tahun

  NR       Saturday, January 21, 2012


ZAINAL Abidin Osman (kiri) mendengar taklimat daripada Md. Sees Md. Ali (kanan) semasa melawat Sekolah Agama Taman Molek, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 20 Jan. - Kerajaan negeri akan membangunkan 96 sekolah agama dengan kos dianggarkan RM224 juta dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, semua sekolah tersebut yang dijadualkan siap Mac 2013 akan dibina dalam empat fasa, dengan fasa pertama melibatkan pembinaan 25 sekolah.

Menurutnya, enam daripada 25 sekolah tersebut dijangka siap Mac ini, manakala 10 lagi pada April dan selebihnya sebelum penghujung tahun.

"Baki 71 sekolah lagi dijangka siap sepenuhnya pada 2013. Pembinaan semua sekolah itu bagi memenuhi keperluan sekolah agama yang semakin meningkat di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Sekolah Agama Taman Molek di sini semalam.

Selain Sekolah Agama Taman Molek, Zainal Abidin turut melawat tapak projek pembinaan Sekolah Agama Bandar Putra, Sekolah Agama Kota Kulai dan Sekolah Agama Taman Pulai Indah.

Menurutnya, bagi merealisasikan projek itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah mencapai persetujuan untuk melantik syarikat bumiputera, MysysNet Development Sdn. Bhd. (MysysNet) bagi melaksanakan projek tersebut.

Mengulas projek Sekolah Agama Taman Molek, Ketua Pegawai Eksekutif MysysNet, Md. Sees Md. Ali berkata, projek itu sudah 70 peratus siap dan pembinaannya berjalan mengikut jadual.

"Apabila siap Mac nanti, sekolah ini yang dibina dengan kos RM2.2 juta akan mempunyai 10 kelas dan dijangka dapat diserahkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh dua bulan," katanya.

- Utusan

logoblog

Thanks for reading Kerajaan Negeri Johor Bina 96 Sekolah Agama Dalam Tempoh 2 Tahun

Previous
« Prev Post

No comments: