Tidak terlepas dari membicarakan isu semasa,
pelakon popular, Zed Zaidi turut mempunyai pandangan mengenai kemelut Akta
Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang kini sedang hebat diperkatakan.
Sebelum ini, negara pernah dikejutkan dengan
tindakan berani mahasiswa, Adam Adli Abd Halim, 22, mengadakan demonstrasi dan
menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menuntut
pemansuhan Auku setelah akta ini dilihat menyekat kebebasan akademik penuntut.
Menurut Zed yang juga pemangku Timbalan Presiden
dan Ketua Biro Seniman Muda, menyifatkan kumpulan penuntut masih belum layak
untuk diberikan ruang dalam berpolitik.
Zed mengakui, dia menyokong Auku sekiranya peluang
yang diberi digunakan dengan sebaik mungkin oleh golongan penuntut. Namun, dia
tidak menafikan bahawa terdapat sisi positif dan negatif dalam pelaksanaan Auku.
“Bagusnya, Auku boleh melahirkan pelapis muda dan
juga bakal pemimpin berkaliber. Kerajaan memandang dari sudut itu, tetapi ada
segelintir menganggap sebaliknya.
“Bagi saya, mereka yang mengadakan demonstrasi
jalanan seperti itu tidak boleh menjadi kumpulan pendesak. Saya memang bantah
demo ini kerana di situ terpamer sikap kurang bijak penuntut universiti. Jangan
sesekali kita merendahkan martabat kita sebagai mahasiswa berilmu.
“Mereka belum capai tahap matang lagi, mereka akan
lebih senang dimanipulasikan. Perkara ini boleh dibawa berbincang dan perlu
mengikut saluran yang betul,” katanya yang kini melanjutkan pelajaran dalam
bidang komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Zed yang merupakan ahli Umno juga menggesa pihak
Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar lebih memainkan peranan dalam hal sebegini.
Isteri
mengidam durian
Walaupun aktif berpolitik dan menguruskan
persatuan, itu tidak menjadi halangan untuk Zed meluangkan masa bersama isteri
tercinta, Natalia Mustafa Kamal, yang kini sedang berbadan dua.
Menurut Zed, kandungan Natalia baru mencecah tiga
bulan dan dia cuba memenuhi kehendak isterinya apatah lagi ini merupakan cahaya
mata pertama mereka.
“Isteri saya mengidam makanan yang pelik-pelik,
contohnya durian yang sebelum ini tidak digemarinya. Selain itu, dia turut
mengalami alahan yang teruk. Tugas di dapur juga turut beralih tangan di mana
saya yang akan menyediakan hidangan makanan.
“Tapi, saya tidaklah pakar dalam memasak, setakat
nasi goreng ayam dan spageti tu, boleh la. Selain itu, isteri saya turut
mengamalkan minum susu Anmum untuk memastikan kandungan mendapat khasiat yang
sepenuhnya.
“Ini adalah cahaya mata pertama kami, sudah tentu kami
teruja untuk menanti kehadirannya. Saya akan lakukan apa sahaja yang termampu
untuk isteri dan anak saya. Kehadiran mereka adalah hadiah paling indah buat
saya,” katanya yang teringin menimang cahaya mata lelaki.
- SH
No comments:
Post a Comment