Powered by Blogger.

Wednesday, February 08, 2012

Jangan Diskriminasi Graduan Pendidikan Kolej Swasta

  NR       Wednesday, February 08, 2012

KUCHING: Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pelajaran diminta agar tidak mendiskriminasi graduan kursus pendidikan dari kolej swasta dengan tidak menerima mereka untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Pengerusi Kolej SIDMA Sabah dan Sarawak Profesor Dr Mornie Kambrie berkata, sama ada graduan berkenaan dari kolej swasta atau institusi kerajaan, mereka harus diberi peluang sama jika memiliki potensi yang baik.

“Pada Januari 2010, kami menerima memo daripada Jabatan Pelajaran mengatakan mereka hanya mengambil graduan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja.

“Sedangkan, sebelum ini mereka telah mengambil ramai graduan kita dan kini tiba-tiba hanya mengambil dari IPTA, walhal kita juga mendapat kelulusan dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan tajaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia Kolej SIDMA Sarawak kepada para pelajar UniRazak yang disempurnakan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof di sini, semalam.

Mornie berkata, perkara itu telah diutarakan beliau sendiri kepada Menteri Pelajaran pada Julai 2010, tetapi sehingga kini masih belum ada jawapannya.

Justeru, beliau berharap kerajaan persekutuan khasnya akan membuat satu keputusan yang baik demi kebaikan pendidikan di negeri ini dan Sabah.

“Kalau boleh mereka memanggil graduan kita untuk ditemu ramah terlebih dahulu dan sekiranya mereka tidak bagus, maka mereka boleh menolak, begitulah sebaliknya.

“Tetapi jangan mendiskriminasi graduan dari IPTS kerana ia satu dasar yang tidak baik. Malahan graduan kita juga menggunakan 100 peratus Bahasa Inggeris,” tegasnya.

Beliau berkata, malahan kini pengambilan pelajar-pelajar ke kolej mereka amat tegas dengan melalui Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MeDSI), yang mana dikendalikan kakitangan dari Institut Perguruan.

Mornie berkata, Jabatan Pelajaran perlu mencontohi Jabatan Kesihatan yang turut mengambil ramai pelajar jururawat dari kolej swasta untuk bekerja di hospital kerajaan meskipun mereka mempunyai ramai pelajar kolej kerajaan.

“Mengapa dalam bidang kesihatan graduan dari swasta seperti Masterskill, MAHSA dan sebagainya diambil bekerja di hospital kerajaan dan kita sebaliknya?” tegas beliau lagi.

Beliau memberitahu, Kolej SIDMA yang dahulunya juga dikenali sebagai Unitar atau UniRazak pernah melahirkan kira-kira 400 graduan pendidikan mengajar di SMK.

Bagaimanapun, pengambilan itu terhenti secara tiba-tiba selepas mendapat memo daripada Jabatan Pelajaran pada Januari 2010, sekali gus menjadi kebimbangan kepada para pelajarnya.

Hadir sama Ketua Eksekutif Kolej SIDMA Sarawak, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Pusat Wilayah Sarawak Marzuki Umi.

- UB
logoblog

Thanks for reading Jangan Diskriminasi Graduan Pendidikan Kolej Swasta

Previous
« Prev Post

1 comment:

Anonymous said...

Selaku Ahli Jawatan kuasa Pilihan raya BN P169, dengan ikhlasnya merayu kepada kebijaksanaan YAB Perdana Menteri yang kita sayangi dan sanjungi agar dapat membantu para graduan Unirazak, Sabah dan Sarawak agar mereka dapat diberi peluang yang sama untuk dilantik se bagai Guru dan ditugaskan dimana sahaja sekolah diMalaysia. Graduan Lepasan Universiti Tun Abdul Razak adalah aset utama kepada BN dan sekiranya mereka terus menganggur, maka bukan sahaja mereka tetapi para ibubapa, saudara-saudara serta mereka-mereka yang turut bersimpati kepada belia-belia menganggur ini dan saya khuatir akan membelakangkan BN.