Powered by Blogger.

Wednesday, March 28, 2012

Amah Indonesia Baru 5 Bulan Kerja Larikan Barang Kemas, Duit Guru RM30,200

  NR       Wednesday, March 28, 2012

TUMPAT – Seorang amah warga Indonesia yang baru lima bulan ditugaskan menjaga ibu dan mertua majikannya, melarikan diri bersama barang kemas bernilai RM30,000 dan wang tunai RM200, di Kampung Sungai Nyor, Palekbang di sini kelmarin.

Kejadian itu disedari majikan terbabit, seorang guru lelaki berusia 41 tahun, selepas dimaklumkan jirannya mengenai kehilangan amah terbabit kira–kira jam 10 pagi.

Berikutan kejadian itu, polis Tumpat sedang giat mengesan pembantu rumah warga Indonesia berasal dari Lombok dikenali sebagai Irpaniah berusia 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap berkata, ketika kejadian tersebut, mangsa bersama isterinya meninggalkan ibunya dan mertuanya bersama pembantu rumah tersebut.

“Kira-kira jam 10 pagi, jiran mangsa ke rumahnya dan mendapati pintu pagar rumah terbuka.

“Jirannya masuk ke dalam rumah dan mendapati ibu dan mertua mangsa sahaja yang berada di dalam rumah terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Menurutnya, jiran mangsa mengesyaki pembantu rumah tersebut melarikan diri lalu menghubungi mangsa menceritakan kejadian itu.

Katanya, mangsa terus pulang ke rumah dan selepas membuat pemeriksaan mendapati barang kemas milik ibu mertuanya bernilai RM30,000 lesap.

“Turut hilang adalah wang tunai berjumlah RM200,” katanya.

Khalid berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Wakaf Bharu kira-kira jam 1 tengah hari.

Katanya, hasil siasatan mendapati amah tersebut melarikan diri tanpa membawa pasport.

“Sebulan yang lepas, pembantu rumah ada meminta majikannya itu untuk membeli telefon bimbit dengan alasan untuk menghubunginya di kampung,” katanya.

Menurutnya, sehubungan dengan itu pihaknya kini sedang memperhebatkan gerakan untuk mengesan pembantu rumah berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan kejadian ini, boleh menghubungi balai terdekat atau menelefon IPD Tumpat 09-7257222.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

 – Sinar Harian
logoblog

Thanks for reading Amah Indonesia Baru 5 Bulan Kerja Larikan Barang Kemas, Duit Guru RM30,200

Previous
« Prev Post

No comments: