Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

Lepasan SPM dipelawa sertai ILP Kota Bharu

  NR       Thursday, March 29, 2012

KOTA BHARU 27 Mac - Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang berminat dengan bidang kemahiran diminta tidak melepaskan peluang menyertai Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu yang menawarkan 11 kursus di bawah tiga jabatan iaitu Sivil, Mekanikal Pengeluaran serta Elektrikal dan Elektronik.

Timbalan Pengarah (Pengurusan Latihan) ILP Kota Bharu, Mohamad Hazmi Noordin berkata, institusi di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) tersebut juga membuka peluang kepada sesiapa berminat termasuk pekerja sedang berkhidmat di sektor perindustrian untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Katanya, selain diploma teknologi binaan, kursus lain yang ditawarkan adalah peringkat sijil antaranya teknologi binaan bangunan, teknologi rekabentuk dan pengeluaran perabot, elektronik industri, teknologi maklumat, penyejukbekuan dan penyaman udara.

"Belia berusia 17 tahun ke atas tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menjadi warga ILP Kota Bharu kerana pembelajaran mereka di peringkat sijil di sini ditanggung sepenuhnya oleh pihak JTM termasuk kemudahan asrama, malah mereka akan diberi duit poket bulanan.

"Bagi peringkat diploma pula, pelajar boleh memohon pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menyediakan kemudahan itu kepada pelatih jurusan teknikal dan vokasional di institusi-institusi latihan kemahiran awam dan swasta," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mohamad Hazmi berkata, pelajar akan diberi latihan kemahiran dengan bimbingan tenaga pengajar mahir serta kemudahan peralatan latihan terkini selaras dengan pembangunan industri.

Katanya, 90 peratus daripada lulusan ILP Kota Bharu didapati tidak bermasalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dengan majoriti berkhidmat dalam bidang dipelajari.
logoblog

Thanks for reading Lepasan SPM dipelawa sertai ILP Kota Bharu

Previous
« Prev Post

No comments: