Powered by Blogger.

Thursday, March 29, 2012

KIST mansuh yuran pendaftaran anak yatim

  NR       Thursday, March 29, 2012

Pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi bersama sijil masing-masing selepas tamat Bengkel Kerjaya KIST di Hulu Terengganu, baru-baru ini.

HULU TERENGGANU 27 Mac - Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) memansuhkan yuran pendaftaran kepada anak yatim yang menyambung pengajian di mana-mana kampusnya di seluruh negara mulai sesi pengambilan April ini.

Ketua Eksekutif KIST Terengganu, Mohd. Norizal Nawang berkata, pemansuhan yuran pendaftaran yang dikenakan antara RM600 hingga RM1,000 itu bagi mengurangkan bebanan keluarga dalam menyediakan keperluan bagi memasuki kolej.

Katanya, ia turut mencerminkan tanggungjawab sosial KIST yang kewujudannya tidak berorientasikan keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada penyediaan peluang seluas-luasnya kepada sesiapa yang layak untuk melanjutkan pengajian.

Selain itu, katanya, pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM1,500, mereka diberi potongan yuran pendaftaran 40 peratus.

"Sebanyak 50 peratus diskaun turut diberikan kepada penuntut berasal dari Bachok dan Hulu Terengganu di mana terletaknya dua kampus KIST dan dari Kemaman.

"Penuntut dari Kemaman turut diberi keistimewaan ini kerana ia daerah kelahiran Presiden KIST, Muhamad Zamly Abdullah," katanya ketika ditemui pemberita pada Bengkel Kerjaya KIST di kolej itu, dekat sini baru-baru ini.

Pada program itu, seramai 60 peserta terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar Asrama Anak Yatim Darul Hilmi, Teluk Ketapang, Kuala Terengganu mengikuti program sehari anjuran Unit Pengambilan Pelajar KIST.

Katanya, bagi mendapatkan keistimewaan ini, pelajar mendaftar perlu membawa bersama dokumen pengesahan seperti sijil kematian bapa atau status khidupan keluarga yang ditandatangani pemimpin setempat.

Sementara itu, Mohd. Norizal memberitahu, KIST cawangan Terengganu mensasarkan kemasukan pelajar pada tahun ini ditingkatkan kepada 200 orang lagi melalui tiga sesi pengambilan iaitu April, Jun dan September.

Katanya, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan penuntut KIST di kampus itu kira-kira 1,000 orang yang mengikuti 16 program diploma dan sijil seperti farmasi, x-ray, syariah, senaman dan sukan, radioterapi, fisioterapi dan teknologi makmal perubatan.

"Ia disokong dengan pertambahan sebuah bangunan baru setinggi lima tingkat yang menempatkan 36 bilik kuliah serta beberapa makmal untuk keselesaan pelajar dan pensyarah di kampus ini," katanya.
logoblog

Thanks for reading KIST mansuh yuran pendaftaran anak yatim

Previous
« Prev Post

No comments: