Powered by Blogger.

Sunday, April 01, 2012

IPT Disaran Wujud Program Khusus Seni Bina Islam

  NR       Sunday, April 01, 2012

Rais Yatim berbincang sesuatu dengan Aga Khan selepas merasmikan pameran Khazanah Muzium Aga Khan: Seni Bina Dalam Kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, semalam. 

KUALA LUMPUR 30 Mac – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disaran supaya mewujudkan program seni bina Islam yang khusus agar dapat mengembalikan kegemilangannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ekoran daripada itu, kementeriannya dan Jaringan Pembangunan Aga Khan akan bekerjasama bagi membantu dalam mempromosikan kurikulum seni bina yang diperlukan.

‘‘Kurikulum seni bina Islam ini mesti ada dalam sistem pendidikan di universiti agar tidak tercicir kerana kita mahu elemen-elemen kesenian Islam sama ada yang lama atau ada sekarang dapat didedahkan kepada semua masyarakat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pameran Khazanah Muzium Aga Khan: Seni Bina Dalam Kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini. Pameran berlangsung hingga 29 Jun ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengasas dan Pengerusi Jaringan Pembangunan Aga Khan, Aga Khan; Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan isteri, Puan Sri Sharifah Zarah Albukhary dan Pengarah Muzium Kesenian Islam, Syed Mohamad Albukhary.

Turut sama Pengurus Besar Amanah Kebudayaan Aga Khan, Luis Monreal; Ketua Kurator Pameran Aga Khan, Benoit Junod dan Ketua Kurator Muzium Kesenian Islam, Dr. Heba Nayel Barakat.

Menurut Rais, Muzium Kesenian Islam di negara ini akan menjadi teraju utama dalam kerjasama tersebut.

‘‘Walaupun kita mempunyai latar belakang pendidikan seni bina yang pelbagai sama ada berkonsepkan tempatan atau Barat tetapi setakat ini kebanyakan bangunan tidak mengira langsung tentang nilai seni Islam atau seni yang telah mengharumkan nama Islam di serata dunia,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kerja Raya telah bekerjasama memastikan seni bina Islam diterapkan dalam pembinaan tertentu, selain memastikan jumlah arkitek Islam mencukupi.

‘‘Kita juga mahu setiap bangunan di pekan-pekan di negara ini mempunyai ciri-ciri Islam dan Melayu atau warisan tradisi masyarakat di kawasan masing-masing,’’ katanya.

Menurut beliau, Jabatan Warisan kini sedang melaksanakan program promosi tersebut termasuk di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Sementara itu Aga berkata, amat penting seni bina Islam disebar luas ke seluruh dunia kerana banyak seni bina bercirikan Islam telah hilang.

‘‘Seni bina Islam bukan sahaja tertumpu kepada kegemilangan tamadun pada masa lampau tetapi juga mencipta inspirasi baru ke arah seni bina yang hebat,’’ katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading IPT Disaran Wujud Program Khusus Seni Bina Islam

Previous
« Prev Post

No comments: