Powered by Blogger.

Sunday, July 29, 2012

Tambah Guru Bahasa Iban

  NR       Sunday, July 29, 2012
MARTABAT BAHASA IBAN: Jabu memukul gong sebagai simbolik perasmian Dialog Pembangunan Pendidikan Bahasa Iban Dalam Sekolah di Kuching, semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Kebajikan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, Robert Lawson Chuat (enam kiri) serta tetamu kehormat lain.

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai guru Bahasa Iban berkelayakan dalam usaha memperkasakan pembangunan bahasa itu ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, ia juga bagi menghadapi kekurangan guru berkelayakan dalam bidang berkenaan.

“Kita amat memerlukan guru buat masa sekarang dan kita berusaha melahirkan lebih ramai graduan yang berkelayakan untuk mengajar Bahasa Iban dan tidak semestinya mereka berbangsa Iban.

“Kita menjangka jumlah pelajar sekolah mengambil subjek ini akan meningkat, begitu juga trend kaum bukan Iban yang berminat melanjutkan pe-ngajian Bahasa Iban,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Dialog Pembangunan Pendidikan Bahasa Iban Dalam Sekolah anjuran Jawatankuasa Sosial dan Rekreasi Saribas yang dihadiri Pengerusinya, Andrew Bangkam Bejie serta Residen Bahagian Betong Datu Romie Daniel di sini, semalam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, setakat ini seramai 71,481 pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah sedang mengikuti kelas Bahasa Iban sebagai salah satu subjek mereka di sekolah.

“Daripada jumlah ini, 48,969 murid sekolah rendah, sementara 22,512 orang adalah pelajar sekolah menengah dan ia kini sedang diajar di 693 buah sekolah rendah dan 95 sekolah menengah di seluruh negeri.

“Saya percaya jumlah ini akan meningkat, malah ada dalam kalangan pelajar bukan masyarakat Iban turut menunjukkan minat untuk belajar bahasa ini, yang menunjukkan ia sudah diterima oleh masyarakat bukan Da-yak,” tegasnya.

Jabu memberitahu, kerajaan telah memulakan program Bahasa Iban pada penghujung 1980-an atau awal 1990-an apabila Bahasa Iban diiktiraf oleh kerajaan persekutuan untuk diajar di sekolah sebagai bahasa setaraf Bahasa Tamil dan Mandarin.

Bagaimanapun, katanya, kini Bahasa Iban bukan sahaja diajar kepada pelajar sekolah, malah sudah mula menjadi kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Antaranya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak, di mana Bahasa Iban dijadikan program minor yang dimulakan de-ngan seramai 20 pelajar sebagai am-bilan pertama.

“Setakat ini, kira-kira 25 pelajar sedang mengikuti program lepasan ijazah sementara 46 lagi mengambil pengajian diploma, yang menjadikan seramai 71 orang sedang mengikuti kursus Bahasa Iban di UPSI.

“Selain itu, di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Rajang di Bintangor, kita ada seramai 24 pelajar yang mengambil pengajian ijazah lima tahun Bahasa Iban bagi ambilan pertama pada tahun 2011,” katanya.

Jabu menjelaskan, untuk ambilan ke-dua iaitu pada Jun 2012, terdapat seramai 20 pelajar baharu untuk program berkenaan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 44 pelajar di IPGM Rajang.

Sementara itu, dialog semalam menerima penyertaan seramai 150 peserta komuniti Iban pelbagai latar belakang.

Andrew dalam ucapannya mencadangkan agar satu badan ditubuhkan bagi menentu atau menyeragamkan bahasa asing yang diguna pakai dalam Bahasa Iban.

“Dalam masyarakat moden hari ini, Bahasa Iban telah banyak mengguna-kan perkataan teknologi moden dan saintifik memandangkan tidak ada apa-apa perkataan yang wujud dalam perbendaharaan kata masyarakat Dayak Iban.

“Antara perkataan berkaitan termasuk penggunaan TV plasma, teknologi nano dan banyak lagi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, satu badan perlu ditubuhkan yang boleh menyeragamkan standard perkataan berbanding membiarkan individu atau masyarakat menggunakan versi masing-masing.

- UB
logoblog

Thanks for reading Tambah Guru Bahasa Iban

Previous
« Prev Post

No comments: