MIRI 30 Nov. - Naim Holdings Bhd. (Naim) telah menubuhkan Institut Pengurusan Lanjutan Naim bagi melatih lebih 1,000 bumiputera agar mampu menjadi pekerja mahir yang diperlukan dalam sektor perindustrian di negeri ini.
Naim menerusi anak syarikatnya, Naim Reality Sdn. Bhd. telah mengumumkan penubuhan institut tersebut bagi melatih anak-anak tempatan serta kakitangannya untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan pengambilan pertama akan bermula tahun depan.
Ia mendapat perhatian Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memuji langkah Naim sebagai mampu menjadi penyumbang besar kepada pembangunan negeri ini pada masa akan datang.
"Kita amat mengalu-alukan usaha Naim menubuhkan Institut Pengurusan Lanjutan Naim ini kerana ia mampu melatih usahawan muda di kalangan bumiputera serta melatih rakyat tempatan di negeri ini agar menjadi pekerja mahir yang akan sama-sama memajukan negeri ini," katanya sewaktu merasmikan Permy Mall, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Taib berkata, peranan sektor swasta amat diperlukan bagi memperkasakan pembangunan negeri ini yang mahu menjadi antara negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Bagaimanapun katanya, semua itu tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa penglibatan rakyat yang menjadi sumber kepada tenaga kerja yang berkemahiran.
Dalam pada itu, menyentuh tentang rancangan pembangunan bahagian ini secara keseluruhannya, Abdul Taib berkata, ia akan terus memfokuskan kepada industri yang berkaitan dengan perkhidmatan dan pelancongan.
"Pembangunan Miri akan berkembang dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain, tetapi ia tetap memberi fokus utama kepada industri berasaskan perkhidmatan selain kegiatan industri pelancongan," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment