TERIMA KASIH: (Dari kiri) Loriena, Nisha, dan Halmond.
822 pelajar Kolej Masterskill Kampus Kuching menerima baucar RM200
KUCHING: Seramai 822 pelajar Kolej Masterskill Kampus Kuching menerima baucar Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM200 semalam.
Pemberian baucar BB1M itu bertujuan meringankan beban pelajar untuk membeli buku rujukan atau peralatan pengajian mereka.
Balit Nyekok, 22, seorang pelajar jurusan Diploma Penjagaan Kesihatan berkata, BB1M itu sedikit sebanyak membantunya membeli buku rujukan memandangkan kebanyakan pelajar kurang mampu membeli buku kerana mahal.
“Kami para pelajar meluahkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana pemberian baucar buku ini amat bermakna kepada kami,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, seorang pelajar Fisioterapi berusia 20 tahun, Nisha Kaliani berkata, dengan bantuan BB1M itu para pelajar kini berkemampuan untuk membeli buku rujukan yang diperlukan dalam pengajian mereka.
“Saya akan menggunakan baucar ini sebaik-baiknya untuk membeli bahan rujukan yang digunakan dalam pengajian saya,” katanya.
Manakala seorang lagi pelajar di kolej berkenaan, Halmond Ting berharap usaha murni kerajaan itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya berharap kerajaan akan meneruskan usaha sebegini dalam memastikan pembangunan pendidikan terutama pelajar kolej swasta terus maju seiring dengan transfomasi kerajaan,” ujarnya.
Terdahulu, Pengurus Pusat dan Ketua Pengambilan Pelajar Tony Tan berkata, kolej berkenaan turut mengadakan pesta buku bagi memudahkan para pelajar menggunakan baucar buku tersebut.
“Kebanyakan pelajar berasal dari luar dan mereka terpaksa mencari kenderaan untuk ke kedai buku.
“Atas inisiatif itu, kami pihak kolej mengadakan jualan buku di sini.
“Kami telah menjemput pihak My Bookstore dan Smart Books bagi menjayakan pesta buku yang dianjurkan ini,” ujarnya.
- UB
No comments:
Post a Comment